Kompetensi Fungsian Pemandu Universiti Menyokong UiTM2025
Oleh:
Ts. Mohd Rafizi bin Rahmad, PPK ILD UiTM
Dalam usaha mengangkat profesyen sebagai Pemandu UiTM, Pusat Pembangunan Kompetensi (PPK) ILD UiTM tampil memperbaharui modul Kursus Pemandu Cemerlang dengan mengemaskini kandungan ceramah sesuai dengan keperluan kompetensi fungsian sebagai pemandu universiti. Kursus tersebut berlangsung pada 23 hingga 24 November 2022 di ILD UiTM Bandar Enstek, kini ditambahbaik dengan memperbanyakkan bahan dalam bentuk praktikal dan demonstrasi melibatkan jentera serta elemen-elemen lain berkaitan kerjasama berpasukan. Terkini, lawatan turut menjadi sebahagian dari pengisian kursus apabila kumpulan 53 pemandu yang mengikuti latihan dibawa melawat ke Litar Lumba Antarabangsa Sepang (SIC) dan Muzium Automotif Nasional yang terletak hanya lima kilometer dari ILD UiTM. Inisiatif ini sebagai usaha untuk membuka minda dan jiwa Pemandu UiTM supaya melihat perspektif lebih besar sebagai pemandu universiti serta sumbangan mereka dalam menjayakan hasrat UiTM bergelar Universiti Tersohor Dunia menjelang tahun 2025. Pemandu universiti adalah kakitangan barisan hadapan UiTM dan bukan semata-mata sebagai sebahagian dari kakitangan sokongan kumpulan bawahan.