DEBAT PERDANA MADANI 2023 

Debat Perdana Madani 2023 telah diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM pada 21 Ogos 2023 pada jam 8.30 pagi sehingga 5.00 petang. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Menurutnya Institut Pengajian Tinggi (IPT) diberi peranan dalam menyebar luas Konsep Malaysia Madani, justeru pemahaman ‘Gagasan Malaysia Madani’ terus diperkasa menerusi Debat Perdana Madani 2023. Majlis ini mengumpulkan Cendekiawan Negara, Ahli Akademik dan Ilmuwan untuk memahami dan sama-sama memainkan peranan bagi menjayakan Malaysia Madani. Menampilkan 10 panel pelbagai latar belakang. Ia merangkumi 3 sesi utama iaitu Bicara Sejahtera Malaysia Madani, pembentangan 3 panel dan juga Forum Malaysia Madani.

 

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin juga berkata, bagi pihak KPT, Debat Perdana Madani adalah satu projek negara yang memfokuskan penjanaan idea dan buah pandangan kerana tanpa idea dan buah pandangan pelbagai, tidak ada agenda dan misi bersama negara akan berjaya. Kedua, Debat Perdana Madani adalah pentas kerajaan memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia Madani. Harapan beliau agar Malaysia akan bertumbuh menjadi sebuah negara yang matang, sarat dengan nilai-nilai unggul dan dicirikan dengan kesejahteraan yang merentasi segala latar dan perbezaan.

 

Delegasi UiTM yang diketuai oleh YBhg. Profesor Datuk Dr Mizan Bin Hitam, Penolong Naib Canselor ILD UiTM mewakili Naib Canselor bersama-sama 40 orang staf Pejabat Naib Canselor, Pejabat TNCAA, Pejabat TNCHEP, Pejabat TNCPI, Pejabat ICAN, Pejabat Pendaftar dan Pejabat Bendahari mewakili UiTM Shah Alam manakala 20 orang wakil dari ILD UiTM Bandar Enstek dan ILD Perak telah hadir ke program tersebut. Program ini juga dihadiri dari pelbagai pihak seperti Universiti Awam, Universiti Swasta, pelbagai Badan Kerajaan, Badan Berkanun dan orang awam.

 

 

 

 

 

CONTACT US

Institut Kepimpinan dan Pembangunan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Lebuh Enstek,Bandar Enstek
71760 Nilai, Negeri Sembilan


https://ild.uitm.edu.my

Tel(+606) 7580 200