PERSIDANGAN NASIONAL SUMBER MANUSIA (PSM) 2023: CABARAN DAN STRATEGI TRANSFORMASI PENGURUSAN SUMBER MANUSIA ERA BANI

Jawatankuasa Sumber Manusia Universiti Awam (JKSMUA) dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Persidangan Nasional Pengurusan Sumber Manusia 2023 (PSM 2023) bertempat di Hotel Adya, Pulau Langkawi pada 14 hingga 16 Oktober 2023. Persidangan ini bertemakan Transformasi Pengurusan Sumber Manusia Era Brittle, Anxious, Non-Linear, Incomprehensible (BANI): Cabaran dan Strategi.

YBhg. Tan Sri Datuk Wira Dr. Hj. Mohd Shukor Bin Hj. Mahfar, Pengerusi LPU UUM turut hadir sebagai Perasmi dan memberikan Ucaptama 1 bertajuk Mengupaya Bakat Melonjak Produktiviti. Profesor Emeritus Dato' Dr. Ibrahim Komoo, Pengerusi LPU UPM turut menyampaikan Ucaptama 2 bertajuk Transformasi Pengurusan Bakat Akademik Universiti Awam. Pengerusi LPU UiTM, Datuk Dr. Raduan Che Ros turut menjadi ahli forum PSM 2023 mengupas dengan sangat informatif tajuk forum Mendepani Cabaran Pengurusan Sumber Manusia Era BANI.

Persidangan ini bertujuan untuk menjadi platform bagi berkongsi pengalaman, amalan terbaik dan pendekatan inovatif berkaitan Pengurusan Sumber Manusia di universiti masing-masing. Selain daripada membuka peluang kepada kakitangan universiti awam membentangkan kertas kajian, pihak penganjur juga menyediakan lapan orang penceramah dan panel forum yang merupakan pakar dalam bidang sumber manusia yang akan menyampaikan perkongsian dan pemindahan ilmu.

Objektif PSM 2023 termasuklah :-

1. Platform kepada para pentadbir di UA berkongsi idea, pengalaman dan amalan melalui sesi pembentangan kertas kerja mengikut tema;

2. Para peserta berkongsi pandangan dan pendapat berkaitan isu yang dibincangkan dan cadangan resolusi dapat diketengahkan sebagai satu hasil /output persidangan ke peringkat pembuat keputusan yang berkaitan; dan

3. Medan pembangunan ilmu, bakat dan perluasan jaringan kerjaya para peserta khususnya bagi para pentadbir UA.

Persidangan ini telah dihadiri oleh dua orang pegawai ILD UiTM Bandar Enstek iaitu Ts. Mohd Rafizi Rahmad (Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Pengarah Pusat Pembangunan Kompetensi, ILD UiTM) dan Encik Abdul Qaiyum Abdul Razak (Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Pembangunan Kompetensi, ILD UiTM).

Ts. Mohd Rafizi Rahmad juga telah melakar dua kejayaan signifikan di PSM 2023 ini dengan membentangkan kertas kajian bertajuk Exploring Professional Competency in Malaysian Public University Human Resource Management bagi subtema Pemerkasaan Sumber Manusia dan turut dilantik sebagai Fasilitator sesi pembentangan rumusan dan resolusi bagi subtema Strategi dan Amalan Peningkatan Produktiviti.

Sebanyak 39 kertas kajian telah dibentangkan oleh para peserta merangkumi 3 subtema utama termasuklah Pemerkasaan Sumber Manusia, Strategi dan Amalan Peningkatan Produktiviti serta Pembudayaan Nilai dan Etika Kerja.

Jaringan dan kolaborasi strategik turut dibina bersama para peserta dari seluruh Universiti Awam di Malaysia dalam berkongsi amalan terbaik pengurusan dan pembangunan sumber manusia serta membuat promosi berkaitan perkhidmatan dan sewaan fasiliti di ILD UiTM Bandar Enstek dan Perak. Inspirasi Latihan Dinamik!

Disediakan oleh:

Abdul Qaiyum Bin Abdul Razak

Penolong Pendaftar Kanan

ILD UiTM Bandar Enstek

 

CONTACT US

Institut Kepimpinan dan Pembangunan
Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Lebuh Enstek,Bandar Enstek
71760 Nilai, Negeri Sembilan


https://ild.uitm.edu.my

Tel(+606) 7580 200